Monday, December 6, 2010

Tahun baru dengan Muhasabah

       Tahun Hijrah Islam sekali lagi menjelma dengan bermulanya 1432. Tahun yang bakal penuh dengan cabaran ini disambut dengan rasa tawaduk dan syukur ke hadrat Allah SWT atas segala nikmatNya selama ini. Seperti mana tahun-tahun baru sebelum ini , kita mulakan dengan lafaz Bismillah dan Tasyakkur ke HadratNya kerana kita masih lagi dizinkan untuk menerus usaha-usaha dakwah disamping menjalankan tugasan harian sebagai anak, ibu, bapa ,pendidik, pelajar, pekerja amnya dan sebagai umat Islam khasnya. Namun sebagai muslim yang memahami akan kepentingan hidup sebagai satu Ibadah, seharusnya kita lebih lagi mendalami perspektif sambutan Tahun baru ini. Sambutan tahun baru dalam Islam bukan sahaja satu sambutan yang bersifat bermegah dan bergembira semata-mata tetapi kita harus sandarkan kepada konsep hisab diri , merenung akan kelemahan, kekurangan yang telah kita lakukan sebelum ini dan menginsafinya. 
     Dalam pada erti tahun baru juga membwa makna mencetuskan rasa ingin berubah dari satu kekurangan kepada satu kekuatan yang baru. Apabila kelemahan dikenalpasti maka disitulah datangnya perasaan untuk memperbaiki. Namun tidak semua merasai akan kelemahan. Ada juga perspektif lain daripada kelemahan. Kerana tidak semua orang akan merasai kelemahan dalam diri. Justeru, erti hijrah tahun baru juga boleh diungkap dari erti kata menambah baik serta meningkatkan sesuatu usaha ke arah terbaik. Menghitung diri dan muhasabah yang juga satu amalan para anbiya, mursalin adalah satu perkara yang cukup penting yang harus dijadikan budaya dalam hidup semua manusia. Ungkapan mengihitung diri selaras dengan semangat MUHASABAH.
Tahun baru 1432 hijrah menuntut kita untuk menghisab diri dimana kita sekarang. Insan beriman yang kuat dan diangkat martabatnya adalah mereka yang sentiasa melaksanakan tugas dengan tanggungjawab dan kebenaran. Jiwa para daie harus disemai dengan faham Islami secara jujur dan tidak berpaling daripada kebenaran. Saling ingat mengingati diantara satu sama lain secara penuh jujur demi meraih Mardhatillah. Kita mulai tahun baru ini dengan menanamkan semangat menyampaikan sesuatu yang baik dengan penuh kebenaran. Kebenaran yang hakiki itu kadangkala menuntut kita bersikap yakin dan berani dalam setiap hal. Kadangkala yang benar itu sentiasa didorong dengan sikap takut. Tidak berani untuk menyatakan yang hak. Tetapi sebaliknya membiarkan yang batil itu berleluasa. Justeru menyampaikan dan saling ingat mengingati sesama insan dengan semangat kebenaran harus dijadikan sandaran jika kita ingin meneruskan hidup yang berkat sepanjang tahun 1432 H.
Orang beriman menurut inti surah al-Asr, boleh difahami dalam erti kata kita saling ingat mengingati sesama insan setiap hari atas prinsip kebenaran. ”Berkatalah benar sekalipun pahit”. Ungkapan besar ini adalah satu semangat yang ditanam oleh islam kepada kita bilamana kita berhadapan dalam setiap sesuatu. Namun kata-kata yang benar yang hendak kita lafazkan haruslah berprinsip dan beretika. 
    Namun hakikit inilah yang harus kita lakukan. Tanggungjawab kita mulai sekarang dengan semangat tahun baru hijrah ini adalah sentiasa mendidik diri saling berkata benar dalam setiap keadaan. Kita saling ingat mengingati untuk diri dan orang lain juga atas prinsip kebenaran. Maka jika imbal balik antara jiwa benar kita dituai maka harapan untuk mencapai hakikat kebenaran dalam masyarakat boleh tercapai.

No comments:

Post a Comment